Ibu yang menghadapi tekanan semasa dalam tempoh pantang atau semasa menguruskan keluarga selepas bersalin juga turut menyumbang kepada punca keguguran rambut. Kesibukan dalam mengendalikan semua urusan harian menyebabkan ibu tiada masa untuk membelai rambut sebagai mahkota mereka. Jika tidak diberi perhatian, masalah keguguran akan menjadi semakin teruk. 

Ibu yang semakin berusia dan telah mengandung lebih dari tiga kali berisiko lebih tinggi berbanding ibu muda atau yang memiliki bilangan anak yang sedikit.  Masalah menjadi lebih rumit apabila ibu yang memiliki bilangan anak yang ramai serta tidak menjaga kebersihan rambut mereka akan menyebabkan rambut gugur dengan lebih banyak.

Malah, semakin ibu berusia bermula pula masalah puncak kepala (crowning area) semakin menipis.  Ia bermula daripada bahagian tengah dan merebak ke bahagian tepi.  Sebab itu boleh dilihat pada kebanyakan orang tua, wanita terutamanya, rambut di bahagian tengah kepala amat nipis dan sedikit sehingga boleh dilihat kulit kepalanya. Ia berlaku bukanlah disebabkan masalah hormon semata-mata tetapi juga disebabkan penjagaan rambut selepas bersalin yang tidak betul.

Selain itu, amalan pemakanan yang tidak sihat boleh menyebabkan masalah keguguran rambut menjadi semakin serius.  Seperti yang diketahui, kebanyakan ibu-ibu selepas bersalin mengawal pemakanan agar dapat mengembalikan semula bentuk tubuh langsing seperti sebelum hamil.  Hal ini sebenarnya boleh menyebabkan mereka banyak kekurangan nutrisi yang amat diperlukan oleh tubuh.

Berbanding lelaki, proses penuaan wanita berlaku dengan lebih cepat. Sebab itu, kulit kepala juga akan menjadi tua dengan lebih cepat berbanding lelaki.  Masalah penuaan ini menyebabkan liang-liang rambut menjadi kosong.  Liang-liang rambut yang kosong ini jika dibiarkan dan tidak diaktifkan bagi pertumbuhan rambut baru, ia akan tertutup dan terbenam.

Kalangan lelaki, mereka yang mengalami masalah rambut sekiranya tidak dirawat dalam tempoh 10 tahun sekalipun keadaan rambut mereka masih sama.  Bezanya wanita, tempoh dua hingga tiga tahun sudah cukup membuatkan wanita kelihatan ‘botak’ kerana liang-liang rambut cepat tertutup.  Liang-liang rambut yang tertutup dan terbenam tidak boleh dirawat atau diaktifkan lagi.

Semakin berusia, peluang untuk pertumbuhan rambut baru semakin rendah.  Ini disebabkan oleh kesemua sel-sel sudah menjadi semakin tua, malah penyerapan nutrien-nutrien yang diperlukan dalam pertumbuhan rambut sihat juga semakin lambat.

Disebabkan usia semakin lanjut, ada kalanya kita lupa tubuh badan juga memerlukan lebih banyak nutrisi.  Hal ini kerana, organ-organ di dalam badan juga turut ‘berusia’ seiring dengan pertambahan usia manusia.  Jadi, nutrisi yang masuk di dalam tubuh badan melalui makanan-makanan yang dimakan akan diserap dan diagihkan kepada organ-organ penting di dalam tubuh seperti hati, jantung, buah pinggan dan sebagainya.  Ia berfungsi untuk membantu organ-organ dalaman berfungsi dengan baik.


Credit : http://www.karangkraf.com/punca-rambut-gugur-selepas-bersalin-1.159521